background img

PERKONGSIAN MAKLUMAT

Apa pilihan suami enggan cerai?


Soalan

PUAN, saya berhasrat untuk memfailkan perceraian fasakh di mahkamah kerana suami saya tidak bersetuju untuk menceraikan saya. Adakah terdapat pilihan lain selain daripada perceraian Fasakh?

 
Jawapan

Barangkali itulah tuntutan yang paling melekat di minda wanita yang mahu mendapat perceraian di mahkamah syariah. Mungkin mereka hanya tahu fasakh sahaja. Sedangkan di mahkamah syariah, banyak lagi pilihan perceraian yang jauh lebih efektif, efisien dan menjimatkan masa serta kos guaman.

Perceraian sebagaimana yang dianjurkan oleh syarak, mestilah berlaku dalam sebaik-baik keadaan dan tidak mendatangkan dharar kepada mana-mana pihak.
    
Maka, perceraian di bawah Seksyen 47 Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) adalah kaedah perceraian yang paling efektif dan dapat memelihara aib kedua belah pihak (suami dan isteri).

Dari segi prosedur, permohonan perceraian di bawah seksyen ini tidak melibatkan surat cara yang banyak mahupun saksi. Sebaik sahaja saman berjaya disampaikan kepada suami dan suami bersetuju untuk bercerai, maka mahkamah syariah akan mengarahkan suami melafazkan cerai di dalam mahkamah setelah mendapati perkahwinan tersebut pecah-belah. Mudah, cepat dan efisien jika kedua-dua pihak bersetuju bercerai secara baik.
  
Suami tidak bersetuju


Sekiranya suami tidak bersetuju dengan perceraian tersebut dan suami hadir ke mahkamah syariah, maka mahkamah boleh mengarahkan suatu jawatankuasa pendamai dilantik untuk mewakili pihak-pihak.

Jawatankuasa pendamai ini terdiri daripada seorang pegawai agama di pejabat agama Islam daerah sebagai pengerusi, seorang wakil suami dan seorang wakil isteri. Di peringkat jawatankuasa pendamai ini, mahkamah akan memberikan keutamaan kepada saudara dan ahli keluarga terdekat.

Wakil-wakil mereka hendaklah berusaha berbincang dan berusaha mencapai perdamaian dalam tempoh enam bulan dari tarikh jawatankuasa ini dibentuk atau dalam tempoh yang lebih lama mengikut arahan mahkamah.

Jawatankuasa pendamai ini hendaklah memanggil dan memberi peluang kepada suami dan isteri menyatakan pendapat dan memanggil wakil untuk siasatan dan pandangan.
    
Di peringkat ini tiada kelibat peguam syarie dibenarkan bertindak atau menghadiri sesi tersebut dan perbincangan adalah eksklusif di antara pihak-pihak, wakil pihak-pihak dan pengerusi sahaja.

Sekiranya pihak-pihak berjaya didamaikan, maka permohonan perceraian ini boleh ditarik balik pada bila-bila masa dengan kebebasan pihak-pihak untuk memfailkan semula permohonan yang sama.

Bagaimanapun sekiranya pasangan gagal didamaikan atau suami enggan melafazkan cerai, maka mahkamah hendaklah merujuk kes tersebut kepada hakam.
   
Mahkamah juga boleh melantik jawatankuasa pendamai yang baru jika mahkamah tidak berpuas hati dengan pengendalian  jawatankuasa yang sedia ada.

Fungsi hakam, jawatankuasa pendamai?

Hakam diperuntukkan dengan jelas di bawah Seksyen 47 (14) dan Seksyen 48 di bawah akta yang sama. Hakam juga terdiri daripada kalangan saudara-mara terdekat iaitu dua penimbang tara (hakam) yang mempunyai makluman berkaitan isu rumah tangga pihak-pihak untuk bertindak bagi pihak suami dan isteri tersebut.

Pelantikan hakam dibuat setelah mahkamah berpuas hati perkelahian (syiqaq) sentiasa berlaku antara pihak-pihak dalam tempoh perkahwinan tersebut selepas selesai urusan perdamaian di peringkat jawatankuasa pendamai gagal atau menemui jalan buntu.
    
Hakam hendaklah berusaha mendapatkan kuasa penuh daripada prinsipalnya (hakam suami daripada suami dan hakam isteri daripada isteri). Malah hakam suami boleh diberi kuasa melafazkan talak bagi pihak suami.

Sesi perbincangan menerusi hakam ini juga tertakluk kepada arahan mahkamah dan hendaklah mengikut hukum syarak. Jika Hakam berpendapat pihak-pihak itu patut bercerai tetapi tidak dapat memerintahkan perceraian kerana sebab lain, Mahkamah boleh melantik hakam yang lain untuk proses yang sama.

Jika hakam di pihak suami enggan melafazkan cerai tetapi meminta perceraian dibuat secara tebus talak dan hakam isteri bersetuju, mahkamah juga boleh mengarahkan perceraian tersebut dilakukan secara tebus talak.

Kesemua prosiding ini termasuk hakam akan mengambil masa lebih kurang enam bulan hingga setahun untuk selesai sekiranya pihak-pihak memberikan kerjasama yang baik dan suami hadir ke mahkamah.

Namun demikian, sekiranya pihak suami gagal menghadirkan diri dan tidak melantik sebarang hakam, maka prosiding ini tidak boleh diteruskan. Ketika itulah pilihan atau talian hayat yang lain boleh diteruskan sama ada melalui proses fasakh atau taklik.

Uniknya, prosiding di bawah Seksyen 47 ini juga tidak memerlukan pihak-pihak untuk membuat pelantikan Peguam Syarie atau diwakili oleh peguam syarie melainkan pihak-pihak merasakan ia suatu keperluan.

Malah tiada saksi yang akan dikemukakan di peringkat prosiding ini berbanding dengan tuntutan fasakh dan taklik yang bergantung kepada keterangan saksi untuk menguatkan kes.

Celik undang-undang

Apa yang penting adalah pelantikan serta pemilihan wakil baik di pihak jawatankuasa pendamai mahupun hakam mestilah mereka yang bukan sahaja terdiri daripada kalangan keluarga atau kerabat terdekat tetapi juga mereka yang memahami hukum syarak dan bersedia menerima arahan Mahkamah.

Kos yang terlibat di dalam permohonan ini juga hanyalah kos pemfailan sahaja dan jumlahnya di bawah RM100!

Saya akhiri seruan saya dalam setiap tulisan dengan seruan sama; wanita mesti celik undang-undang dan tahu hak mereka di sisi undang-undang dan hukum syarak.

Urusan ke mahkamah syariah adalah sebahagian daripada urusan memperbaiki agama, maka eloklah dipersiapkan diri dengan ilmu dan pengetahuan yang secukupnya.

Jika wanita yang datang ke mahkamah hanya tahu fasakh sahaja bermakna literasi undang-undang kita sangat lemah! Fasakh adalah satu daripada pilihan yang ada.

Abim melalui program Keluarga Mawaddah dan Rahmah (Kamar) telah menganjurkan siri program Advokasi dan Literasi Undang-undang untuk terus membantu kaum wanita yang memerlukan pencerahan berkaitan hak mereka di sisi undang-undang dan Hukum Syarak.

Masyarakat mesti terus diberikan didikan dan pencerahan dalam usaha memasyarakatkan undang-undang.

 
Dalam tulisan yang akan datang, insya-ALLAH, dibincangkan pula mengapa fasakh menjadi pilihan dan bukan pilihan-pilihan yang lain!

follow me at BLOGR

SHOUTBOX

LIKE US ON FACEBOOK!

Followers